Elak berpecah-belah bertelingkah isu kecil Persoalan Agama.
Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai isu raka’at Tarawih yang sering diperkatakan apabila tibanya Ramadan. Mengikut apa yang saya fahami, bilangan raka’at Tarawih sebanyak 11 raka’at adalah sunnah. Tetapi mengapa imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam melakukan 20 raka’at? Kenapa mereka berbeza dengan sunnah?
Absyar, Terengganu
Jawapan:
Dengan Nama Allāh, Yang
Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawāt dan Salām keatas Muhammad Rasūllullah, Sallallāhu alayhi wa sallam.
Segala Pujian dan Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawāt dan Salām keatas Muhammad Rasūllullah, Sallallāhu alayhi wa sallam.
Solat Tarawih boleh dibuat lapan atau 20 raka’at bergantung keputusan imam
AMAT malang bagi umat Islam sekiranya isu ini mengakibatkan perpecahan, perbalahan dan fitnah di kalangan umat Islam.
Kita tidak sepatutnya bersikap melampau atau jahil. Sesetengah umat Islam bersikap melampau dalam mengikut bilangan yang disebutkan oleh sunnah dan mengatakan tidak boleh melebihi angka itu. Mereka secara agresif mengutuk kumpulan yang melakukan lebih dari bilangan itu dengan mengatakan orang itu berdosa.
Ini satu sikap yang salah. Bagaimana ia boleh jadi berdosa sedangkan Rasulullah (Sallallahu 'alayhi wa sallam) ketika ditanya mengenai solat malam, Baginda berkata ia dilakukan dua raka’at dan Baginda tidak menyebut bilangan tertentu. Oleh itu, Baginda hanya memberitahu cara melakukan solat, tetapi tidak bilangan raka'at.
Apa yang boleh dikatakan dan difahami, sesungguhnya perkara ini luas perbahasannya. Jika mampu, seseorang boleh melakukan 100 rakaat kemudian melakukan solat witir satu rakaat. Berhubung dengan sabda Baginda (Sallallahu 'alayhi wa sallam): “Solatlah kamu sebagai mana kamu melihat aku solat,” ini juga tidaklah bermaksud untuk menetapkan bilangan.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah mengerjakan solat mengikut cara Baginda mengerjakannya, bukan mengikut bilangan rakaat tertentu. Kecuali jika ada hadis yang secara jelas menyatakan bilangan raka’at itu.
Apabila imam sebuah masjid melakukan lapan raka’at, maka hendaklah kita mengikutinya. Begitu juga sekiranya dilakukan 20 raka’at, maka hendaklah juga kita mengikutinya supaya kita tidak terlepas ganjaran besar yang dijanjikan.
Bukankah Rasulullah (Sallallahu 'alayhi wa sallam) bersabda dalam sebuah hadis menyebut:
“Sesiapa berdiri bersama imam sehingga tamat (selesai solat) ganjaran Qiamulail akan dicatat untuknya.”
[Riwayat al-Tirmidzi]
Ibnu Qudamah (rahimahullah) menyebut iaitu: “Pandangan yang disenangi oleh Abu Abdullah (Imam Ahmad) ialah 20 raka’at. Ini juga adalah pandangan al-Thawri, Abu Hanifah dan Syafie. Imam Malik (rahimahullah)berkata, bilangan raka’atnya 36”.
[al-Mughni]
Bagi mereka yang mengatakan hanya lapan raka’at, iaitu mereka menjadikan dalil hadis daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman, beliau bertanya kepada Aisyah(radiyallahu'anha):
“Bagaimana Rasulullah (Sallallahu 'alayhi wa sallam) solat dalam bulan Ramadan?” Aisyah menjawab, “Baginda tidak melakukan solat melebihi sebelas raka’at pada bulan Ramadan dan masa-masa lain. Baginda akan solat empat raka’at dan janganlah bertanya betapa khusyuk dan panjangnya solat-solat itu. Kemudian Baginda mengerjakan empat raka’at dan janganlah bertanya betapa khusyuk dan panjangnya solat-solat itu. Kemudian Baginda akan menunaikan tiga raka’at [witir]. Aku bertanya, Ya Rasulullah, adakah engkau tidur sebelum witir? Baginda menjawab, Wahai Aisyah, mataku tidur, tetapi hatiku tidak.”
[Riwayat Imam Bukhari]
Merujuk pandangan empat imam mengenai bilangan raka’at Tarawih, semua berpendapat bilangan lebih daripada 11 raka’at. Alasannya, mereka menganggap hadis itu bukan menentukan bilangan raka’at solat malam. Kalangan ulama pula berpendapat, jika imam mengerjakan solat panjang dengan bilangan raka’at sedikit, mungkin mendatangkan perasaan tidak suka terhadap amalan itu. Jadi, kalangan imam hendak menjadikan solat lebih pendek dan bilangan raka’atnya bertambah.
Imam Suyuti mengatakan tidak ada dalil menunjukkan solat Tarawih 20 raka’at. Baginda mengerjakan tanpa menetapkan bilangan khusus.
Justeru, janganlah terkejut jika ada yang melakukan solat Tarawih sehingga 20 raka’at. Kalangan ulama dari generasi ke generasi sudah melakukannya dan semua pendapat ini adalah baik.
Wallahua’lam.
[Via Berita Minggu (Agama) 2010/08/15]
No comments:
Post a Comment