Thursday, December 4, 2008

Solāh Berkualiti Zahirkan Peribadi Mulia


Solāh Berkualiti Zahirkan Peribadi Mulia

Oleh Ibrahim Abdullah

 
Dengan  Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala kepujian dan kesyukuran hanya bagi Allāh, Pentadbir sekalian ‘alam. Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allāh, Dan Muhammad Sallallāhu ‘alayhi wa sallam, itu Pesuruh Allah.

RASULULLAH (Sallallāhu `alayhi wasallam) bersabda yang bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahu mengenai seburuk-buruknya pencuri? Sahabat bertanya: Siapakah dia, wahai Rasulullah? Nabi (Sallallāhu `alayhi wasallam) menjawab: Orang yang mencuri dari salahnya. Sahabat bertanya: Bagaimana seseorang mencuri dari Solāhnya? Baginda (Sallallāhu `alayhi wasallam) bersabda: Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

Dalam kisah lain, Rasulullah (Sallallāhu `alayhi wasallam) pernah menyuruh orang yang sudah melakukan salah untuk mengulangi solatnya hingga tiga kali. Sebabnya, ketika Solāh orang itu belum menyempurnakan wuduknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma’ninahnya.

Baginda (Sallallāhu `alayhi wasallam) menjelaskan cara yang benar dalam melakukannya sebanyak empat kali hingga selesai. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Solāh seseorang di antara kamu tidak akan sempurna sebelum mengerjakan yang demikian itu.”

Menunaikan Solāh saja tidak mencukupi hingga mencapai taraf kesempurnaan. Kesempurnaan bukanlah paksaan, tetapi sebagai cara untuk menerapkan jiwa solat supaya membentuk keperibadian terpuji, menghasilkan keberkatan serta memperbaiki diri.

Kesempurnaan solat dimulakan dengan menyempurnakan wudu' mengikut contoh dan petunjuk Rasulullah (Sallallāhu `alayhi wasallam) kerana pergerakan tanpa peraturan tidak akan memberi makna.

Setiap gerakan Solāh memiliki jiwa dan roh, peranan serta makna tersendiri yang akan memantulkan kekuatan positif. Ia adalah sebuah irama kesatuan yang saling membantu dan menyempurnakan gerakan seterusnya.

Wudu' bermakna membersihkan keperibadian buruk dan dosa. Menghadap kiblat bererti menghadapkan jiwa dan roh sepenuh hati dengan khusyuk dan merendah diri. Manakala takbiratulihram membesarkan Zat Allah.

Membaca surah dengan menghayati dan berkeinginan untuk mengamalkannya. Rukuk dan sujud adalah bentuk perwujudan ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan diri secara menyeluruh kepada Zat Yang Maha Agung.

Kualiti ketakwaan seseorang sesungguhnya berkait rapat dengan kualiti solat kerana selain berkomunikasi dengan Allah, solah juga membentuk hubungan mendidik jiwa daripada melakukan perkara dilarang yang akan merosak jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (Solāh) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

[Surah al-’Ankabut, 29:45]

Sabda Rasulullah (Sallallāhu `alayhi wasallam) yang bermaksud:

“Apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di depan rumah seorang daripada kamu, kemudian ia mandi sebanyak lima kali setiap harinya, apakah tersisa kotoran darinya? Sahabat menjawab: Tentu tidak tersisa sedikit pun kotoran. Baginda SAW bersabda: Demikianlah perumpamaan Solāh, ia berfungsi sebagai penggugur dosa dan kesalahan.”

[Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih].

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran menyebutkan, solat adalah jalan (mikraj) pertemuan seorang hamba yang daif dengan Allah Yang Maha Besar. Dengan Solāh seorang hamba berasa dekat dengan Pencipta.

Hati menjadi tenang dan jiwa sejuk. Solāh ibarat sumber mata air sejuk yang tidak pernah kering oleh terik perjalanan dunia. Justeru itu, orang yang berakal sihat pasti amat bergembira mencelupkan dirinya ke dalam mata air solah lima kali sehari semalam secara berjemaah.

Malaikat pencatat amalan kebajikan pun menulis setiap langkah menuju masjid dapat mengangkat satu darjat kemuliaan. Mencatatkan langkah berikutnya sebagai penghapus satu kesalahan.

Jika seorang jemaah berjalan dari rumah menuju masjid atau musalla yang jaraknya 10 meter dengan 20 langkah. Maka 10 meter pula kenaikan satu darjat kemuliaan dan 10 meter berikutnya menghapus kesalahan.

Jika dilakukan lima waktu dalam sehari semalam, bererti 50 darjat kemuliaan dan 50 penghapusan dosa. Allah pun dapat memberikan kelebihan pahala lagi bagi hamba-Nya yang ikhlas memenuhi seruan Solāh.

Syeikh Hasan al-Banna menulis sepucuk wasiat kepada penggerak muda Muslim yang berbunyi, “Jika kamu mendengar seruan azan, segeralah tunaikan Solāh berjemaah walaupun kesibukan kamu.”

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan Solāh, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.”

[Surah at-Tawbah, 9:18]

Perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah dalam rangkaian hijrahnya adalah membangun masjid. Dari sini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya posisi masjid dalam perjuangan kaum Muslimin.

Semangat persamaan dan penyatuan ummah tidak mungkin lahir jika Muslimin tidak bertemu setiap hari dalam satu saf di hadapan Allah. Masjid selain tempat beribadat adalah landasan penyatuan atas dasar ketakwaan.

Justeru, setiap masjid tidak boleh sunyi daripada aktiviti yang menyatukan ummah sebaliknya dimakmurkan supaya institusi masjid menjadi institusi penting kepada umat Islam mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Masjid juga mesti menjadi perantara pembinaan ummah. Hanya dengan dimakmurkan, masjid akan memainkan fungsi strateginya sebagai institusi kebangkitan ummah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang Mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam Solāhnya, dan orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia.”

[Surah al-Mukminun, 23:1-3]

Diceritakan, bahawa Muhammad al-Fatih dan tenteranya ketika ingin menakluk kota Istanbul seperti dijanjikan Rasulullah (Sallallāhu `alayhi wasallam) dalam hadisnya, tidak pernah meninggalkan Solāh wajib, rawatib dan tahajjud sejak baligh.

Jiwa dan roh Solāh mereka telah berhubungan langsung dengan Allah iaitu sumber segala kekuatan. Itulah barangkali kunci kejayaan utama kejayaan beliau dan tenteranya menakluk kota Istanbul yang menjadi kota khalifah Islam terkenal hingga berkurun lamanya. 

Wallahu`alam

[Via MH]

No comments: