Saturday, November 10, 2012

Kelebihan Dzikir Dalam Kehidupan Seharian.


Kelebihan Dzikir Dalam Kehidupan Seharian.


Dengan Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala kepujian dan kesyukuran hanya bagi Allāh, Pentadbir sekalian ‘alam. Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allāh, Dan Muhammad Sallallāhu ‘alayhi wasallam, itu Pesuruh Allah.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dzikir merupakan sebaik-baik ibadat, ketaatan dan taqarrub kepada Allāh Subhānahu wata`ala.

Dzikir bermaksud perbuatan dan amalan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala dengan menyebut lafaz-lafaz tertentu seperti lafaz tasbih, tahmid, takbir, tahlil, berselawat, berdoa dan sebagainya sama ada dengan lidah atau dengan hati.

Perintah supaya sentiasa berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala banyak disebutkan dalam Al-Qur’an, antaranya;

Firman Allāh Subhānahu wata`ala dalam Surah Al-Ahzab ayat 41-42:

"Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada hakikatnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali mengerjakan solat)".

Berdasarkan ayat tersebut dan dalil-dalil yang lain, ulama mengulas bahawa perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri berbanding perintah-perintahNya yang lain. Antaranya, perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala tidak terbatas dengan bilangan tertentu seperti perintah solat Lima waktu.

Perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala tidak dikhususkan perlaksanaannya pada waktu-waktu tertentu seperti perintah solat, puasa, zakat dan haji. Sebaliknya perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala ialah dengan sebanyak-banyaknya, pagi dan petang serta dengan hati, lidah dan juga anggota.

Perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala juga perlu dilaksanakan sama ada secara perseorangan atau berkumpulan, secara senyap atau nearing dan di masjid atau di tempat-tempat lain.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat banyak ayat Al-Qur’an, hadis dan athar yang menyatakan kelebihan berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala. Antaranya ialah:

Pertama: Berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala menjanjikan pengampunan dan ganjaran pahala yang besar.

Firman Allāh Subhānahu wata`ala di dalam Surah Al-Ahzab ayat 35:

"...Dan orang lelaki yang (berdzikir) menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya, Allah telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar".

Kedua: Majlis dzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala dengan pembacaan Al-Qur’an dan sebagainya adalah majlis yang dikerumuni para malaikat, membawa rahmat dan ketenangan kepada mereka turut serta dalam majlis tersebut.

Hadis daripada Abu Hurairah (radiyallāhu’anhu) bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) bersabda:

"Tidak berhimpun satu kaum di mana-mana masjid sedang mereka membaca Kitab Allah (Al-Qur’an) dan mereka mendalaminya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, diliputi dengan rahmat-Nya dan dikelilingi  oleh  para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka  kepada para Malaikat yang berada bersamanya".   (Riwayat Muslim)

Ketiga: Ahli dzikir merupakan semulia makhluk di sisi Allāh Subhānahu wata`ala pada hari Qiamat. Ahli zikir adalah mereka yang suka berzikir dan menyertai majlis dzikir. Majlis dzikir turut disebutkan sebagai majlis yang paling mulia di sisi Allāh Subhānahu wata`ala.

Daripada Abu Said Al-Khudri (radiyallāhu’anhu) bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) bersabda:

"Allah Azza wa Jalla berfirman akan pada hari Qiamat: Semua golongan akan menegtahui siapakah golongan yang paling mulia. Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) ditanya: Siapakah golongan yang paling mulia itu Ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ahli dzikir di rumah-rumah Allah".                                                               (Riwayat Ahmad)

Keempat: Dzikir merupakan penyelamat daripada azab Allāh Subhānahu wata`ala. Daripada Muaz bin Jabal (radiyallāhu’anhu) bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) bersabda:

"Tiada sesuatu yang dapat menyelamatkan seseorang daripada azab Allāh Subhānahu wata`ala selain dzikir kepada-Nya". (Riwayat At-Tirmidzi)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Selain galakkan berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala serta kelebihan-kelebihan yang dinyatakan melalui Al-Qur’an dan hadis, di sana terdapat ancaman kepada mereka yang melalaikan dzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala.

Di antara ancaman tersebut ialah:

Pertama: Mereka yang jauh daripada berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala lebih mudah dipengaruhi syaitan seterusnya lahirlah dosa dan kerosakan.

Firman Allāh Subhānahu wata`ala dalam Surah Al-Zukhruf ayat 36 dan 37:

"Sesiapa yang memalingkan diri daripada pengajaran (al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, maka Kami akan jadikan baginya syaitan, lalu syaitan itu menjadi temannya yang tidak pernah berpisah daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka daripada jalan yang benar, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka adalah orang yang mendapat hidayah".

Kedua:  Lalai daripada berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`alamengundang kemurkaan Allāh Subhānahu wata`ala.

Daripada Abu Hurairah (radiyallāhu’anhu)  bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) bersabda:

"Tidak duduk suatu kaum pada suatu majlis sedang mereka tidak berdzikir kepada Allah dan tidak berselawat ke atas Nabi (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) melainkan ke atas mereka kekurangan (berkat). Jika Allah menghendaki, mereka disiksa dan jika Dia menghendaki, mereka diberi pengampunan". (Riwayat At-Tirmidzi)

Ketiga: Lalai serta kurangnya dzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`alamerupakan sebahagian tanda dan sifat orang munafik.

Berkata Syeikh Abu Al-Hasan Al-Syazuli: "Diantara tanda munafik itu ialah beratnya dzikir ke atas lidah. Bertaubat kepada Allāh Subhānahu wata`ala meringankan lidah untuk berzikir."

Firman Allāh Subhānahu wata`ala dalam Surah An-Nisa ayat 142:

"Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada hakikatnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali mengerjakan solat)".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulan khutbah yang dapat diambil pada hari ini ialah:

Pertama:   Perintah berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`alatidak terbatas kepada waktu, masa dan tempat tertentu sebagaimana perintah dan kefarduan yang lain. Sebaliknya setiap mukmin diperintahkan untuk berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`ala dengan sebanyak-banyaknya pada setiap tempat dan waktu.

Kedua: Berdzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`alamempunyai kelebihan yang banyak. Antaranya, berdzikir mengundang rahmat, keampunan, ketenangan dan sebagainya.

Ketiga:  Ancaman kerana melalaikan dzikir dan mengingati Allāh Subhānahu wata`alatercatat banyak di dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis. Antaranya, kelalaian berdzikir mengundang kemurkaan Allāh Subhānahu wata`ala, jiwa mudah dipengaruhi dan dikuasai syaitan dan sebagainya.

Keempat:   Amalan dzikir sebagaimana yang diajarkan oleh ulama silam dan diamalkan pada hari ini seperti zikir selepas solat secara perseorangan atau berjemaah, majlis bacaan Yasin dan tahlil atau sebagainya merupakan sebahagian daripada majlis yang digalakkan.

"Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatilah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)".  (Surah Al-Jumu'ah: 10)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Wallahu’alam

[Khutbah Jumaat Bacaan 09 November 2012, Jais]


No comments: