Mari Fahami Zakat Fitrah
Dengan
Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala kepujian dan kesyukuran hanya bagi Allāh, Pentadbir sekalian ‘alam. Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allāh, Dan Muhammad Sallallāhu ‘alayhi wa sallam, itu Pesuruh Allāh.
Segala kepujian dan kesyukuran hanya bagi Allāh, Pentadbir sekalian ‘alam. Tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allāh, Dan Muhammad Sallallāhu ‘alayhi wa sallam, itu Pesuruh Allāh.
Zakat Fitrah amat erat
kaitannya dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Menjelang sahaja bulan puasa ini,
maka semua umat Islam merasa terpanggil untuk segera menunaikan kewajipan Zakat
Fitrah. Namun begitu, fahamkah kita tentang ‘ibadah yang dinamakan sebagai Zakat
Fitrah ini?
Siapa yang difardhukan?
Zakat Fitrah adalah
salah satu daripada dua jenis zakat, iaitu Zakat Harta dan Zakat Fitrah atau
disebut juga sebagai Zakat Badan yang perlu dibayar mulai 1 Ramadhan sehingga sebelum Solaul Eidil Fitri pada 1 Shawwal. Ia difardhukan oleh Allāh Subhānahu wa ta‘ala pada tahun
kedua hijrah. Dari segi kewajipannya, Zakat Fitrah dikenakan kepada semua umat Islam,
sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya, bayi, anak-anak kecil mahu pun dewasa,
orang yang berakal mahu pun orang gila.
Ibnu
Umar (radhiyallāhu‘anhu) memberitahu
bahawa: “Rasulullah (Sallallāhu
‘alayhi wasallam) mewajibkan Zakat Fitrah ke atas anak kecil, orang dewasa, orang
merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang di bawah tanggungan
seseorang”. (Riwayat
Daruquthni)
Nisabnya?
Zakat Fitrah mempunyai
nisab yang berbeza dengan Zakat Harta. Dalam hal ini, Islam menetapkan bahawa
seseorang itu memiliki makanan yang cukup baginya untuk malam hari raya
sehinggalah ke siangnya wajib ia mengeluarkan Zakat Fitrah.
Kadar Zakat Fitrah pula
ditetapkan sebanyak segantang Baghdad
berdasarkan makanan asasi sesebuah
negara. Dalam konteks Malaysia, ia menyamai 2.7 kg dan ketetapan nilai
kadar harga beras sebanyak itu pula adalah berubah-ubah dari setahun ke
setahun bergantung kepada harga beras semasa.
Sehubungan dengan itu,
Jawatankuasa
Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan harga Zakat Fitrah di Negeri Selangor
yang menyamai harga beras semasa ialah RM7.00 iaitu kadar harga beras gred
sederhana.
Adalah dengan
penetapan ini diharap umat Islam di Negeri
Selangor mampu menunaikan Zakat Fitrah pada masa yang ditetapkan.
Bilakah waktunya bagi
kita menunaikan Zakat Fitrah ini?
Ada sesetengah orang suka menunggu saat-saat terakhir, yakni sebelum mendirikan Solat Sunat Eidilfitri untuk mengeluarkannya dengan alasan itulah waktu yang paling utama. Dalam Kitab Fiqh Al-Manhaji, telah membahaskan secara terperinci mengenai waktu mengeluarkan Zakat Fitrah ini seperti berikut:
“Sesiapa yang mengeluarkan Zakat Fitrah bermula
dari 1 Ramadhan, hukumnya adalah sah dan harus. Jika ia mengeluarkannya pada masa
selepas tenggelam matahari pada akhir Ramadhan sehinggalah sebelum Solat Eidulfitri,
maka ketika itu adalah waktu yang afdal. Adapun orang yang mengeluarkannya
selepas Solat Eidulfitri, maka hukumnya adalah makruh, tetapi sesiapa yang
melambatkannya sehingga terbenam matahari 1 Syawal, maka dia adalah berdosa;
namun ia tetap wajib mengeluarkannya dan ketika itu ia dianggap sebagai qadha’.”
[Kitab Fiqh Al-Manhaji,
Jilid Pertama]
Sungguh pun waktu yang
terbaik ialah sebelum Solat Eidilfitri, namun janganlah kita menunggu sehingga
ke sa’at itu. Tunaikanlah sejak awal Ramadhan lagi, kerana ia akan lebih
memudahkan urusan dan dapat mengelakkan risiko terlambat atau terlupa
menunaikannya. Pastikan juga kita menyerahkan zakat fitrah hanya kepada amil
yang bertauliah yang dikeluarkan oleh Majlis
Agama Islam Selangor.
Hikmah Zakat Fitrah
Hikmah Zakat Fitrah amat
banyak. Antaranya adalah:
Pertama: Dapat menjamin kegembiraan semua umat
Islam.
Inilah yang telah
disebut dalam hadis daripada Abu Hurairah (radhiyallāhu‘anhu)
bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) bersabda: “Bagi orang
yang berpuasa ia akan mendapat dua kegembiraan; pertama ketika ia berbuka atau
ketika berhari raya dan keduanya ketika ia berjumpa Allāh”. (Riwayat Imam Muslim)
Kedua: Zakat fitrah juga mampu mengikis sifat
tamak dan kedekut dalam diri manusia. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan
diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi rezeki kurniaan Allāh
Subhānahu wa ta‘ala ini.
Seandainya mahu
berkongsi RM7.00 pun sudah merasa susah,
maka bagaimana pula mereka mampu memberi lebih banyak dengan membayar zakat
harta dan bersedekah?
Ketiga: Zakat Fitrah juga memupuk perasaan
kasih-sayang khususnya dari kalangan fakir miskin kepada orang orang kaya,
sehingga dengan itu hilanglah rasa hasad dan dengki yang mampu merosakkan
perhubungan yang harmoni dalam kalangan umat Islam.
Keempat: Zakat Fitrah ini adalah suatu cara
pembersihan diri kepada umat Islam.
Ibnu Abbas (radhiyallāhu‘anhu)
memberitahu bahawa: “Rasulullah (Sallallāhu
‘alayhi wasallam) telah mewajibkan Zakat Fitrah,
untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya
dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang
miskin”. (Riwayat Abu Dawud)
Kelima: Zakat fitrah mampu menzahirkan
kesatuan akidah dan kesatuan amal yang dikehendaki oleh Allāh
Subhānahu wa ta‘ala, antaranya saling tolong-menolong dan meringankan beban.
Firman
Allāh Subhānahu wa ta‘ala dalam
Surah Al-Maidah ayat 2:“Hendaklah kamu
bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, janganlah pula kamu bantu membantu
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allāh);
dan bertaqwalah kepada Allāh, sesungguhnya Allāh amat berat azab-Nya”.(Al-Maidah,
5: 2).
Sesungguhnya,
kedatangan Ramadhan al-Mubarak inilah masanya bagi kita untuk menunjukkan
betapa tingginya hemah kita sebagai seorang Muslim, yakni seorang mukmin yang
menyantuni sesama saudaranya dengan penuh keikhlasan dan kepatuhan kepada
agama. Marilah kita menunaikan Zakat
Fitrah ini dengan penuh keikhlasan dan kesedaran.
Daripada
Salman Al-Farisi (radhiyallāhu‘anhu) bahawa
Rasulullah (Sallallāhu ‘alayhi wasallam) pernah bersabda yang bermaksud:“Sesiapa yang mendampingkan
dirinya kepada Allāh dalam bulan Ramadan
dengan sesuatu daripada perkara-perkara kebajikan (sunat), maka samalah seperti dia mengerjakan satu
perintah Allāh yang diwajibkan (fardhu) pada bulan itu, dan sesiapa yang
menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allāh
pada bulan itu (seperti zakat), maka samalah
seperti dia menunaikan 70 perkara yang diwajibkan Allāh pada bulan-bulan yang
lain”. (Riwayat
Ibn Khuzaimah)
Inilah suatu ganjaran
pahala yang amat besar, yang ditawarkan Allāh
Subhānahu wa ta‘ala pada bulan Ramadhan ini. Maka, tidak
salah sebenarnya bagi semua umat Islam
untuk menjadikan Ramadhan sebagai bulan berzakat, yakni bukan sekadar Zakat
Fitrah, tetapi juga menunaikan zakat harta yang
lain seperti zakat emas, pendapatan, wang simpanan, zakat saham, zakat perniagaan,
zakat ternakan dan zakat pertanian.
Yakinlah, zakat dan
sedekah yang dihulurkan kepada fakir dan
miskin ini ibarat baja yang akan menyuburkan harta. Fungsinya sama seperti
baja dan air yang menyuburkan sepohon pokok. Akhirnya pokok itu membesar dengan
rendang, batangnya teguh mengukuh awan, dahannya tegap mengeluarkan dedaunan dan akhirnya akan
memutik buah-buahan yang kelak meranum
bak manisan. Bukankah ini habuan bagi orang yang menanam dan sentiasa menjaga pokok yang
ditanamnya. Maka, orang yang berzakat dan bersedekah, pahalanya dijanjikan Allāh Subhānahu wa ta‘ala bahkan diberikan
keberkatan hidup sejak di atas dunia ini lagi.
Allāh Subhānahu wa ta‘ala berfirman:“Dan perumpamaan (nafkah
daripada) orang yang membelanjakan hartanya
untuk mencari keredhaan Allāh dan untuk meneguhkan (keimanan dan keikhlasan) yang timbul
daripada jiwa mereka, adalah seperti
sebuah kebun di dataran yang tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Namun,
jika ia tidak ditimpa hujan lebat pun,
maka hujan renyai-renyai sudah memadai. Allāh Maha Melihat akan apa yang kamu
kerjakan”. (Al-Baqarah:
265)
Dipetik dari Khutbah Jumaat 03 Ogos 2012: “Mari Fahami Zakat Fitrah”
Jabatan Agama Islam Selangor
No comments:
Post a Comment