Tuesday, January 29, 2008

Panduan Solāh Qasar Dan Jama’


Panduan Solāh Qasar Dan Jama’

Ibn `Abdallah

Dengan  Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan  Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawāt dan Salām keatas Muhammad Rasūllullah, Sallallāhu alayhi wa sallam.

Berikut adalah kaifiat Solāh Qasar dan Jama’.

1. Solāh Qasar

1.1. Takrifan

Solāh Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) Solāh yang empat raka`at iaitu Dzuhur, `Asar dan `Isya’ kepada dua raka`at sementara Solāh Maghrib dan Solāh Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2. Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut.

i. Al-Qur`an:

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) Solāh jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”[ Surah An-Nisā’, 4: 101]

ii. Al-Sunnah:

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al-Khattab (radhiyallāhu`anhu), “Kenapa kita perlu mengqasarkan Solāh sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu `Umar menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi (Sallallāhu `alayhi wa sallam), dan Baginda bersabda: “Solāh qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya”.” (Riwayat al-Nasā`ie dan Abu Dawud)

1.3. Jarak Dibenarkan Qasar.

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer atau 56 batu.

1.4. Syarat Solāh Qasar.

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii. Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer atau 56 batu).

iii. Berniat qasar di dalam Takbiratul Ihram.

iv. Tidak berimam dengan orang yang Solāh tamam (sempurna).

v. Hendaklah Solāh yang diqasarkan itu terdiri dari Solāh empat raka`at.

1.5. Niat:

"Sahaja aku Solāh fardhu Dzuhur dua raka`at Qasar kerana Allāh Ta’ala"


2. Solāh Jama’

2.1. Takrifan

Solāh Jama’ terbahagi kepada dua:

i. Jama’ Taqdim: Mengerjakan Solāh Dzuhur dan Solāh Asar dalam waktu Dzuhur atau Solāh Maghrib dan Solāh Isya’ dalam waktu Maghrib.

ii. Jama’ Ta’khir: Mengerjakan Solāh Dzuhur dan Solāh Asar dalam waktu Asar atau Solāh Maghrib dan Solāh Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2. Syarat Solāh Jama’.

2.2.1. Solāh Jama’ Taqdim:

i.. Hendaklah bersolāh secara tertib iaitu mendahulukan Solāh Dzuhur daripada Solāh `Asar dan Solāh Maghrib daripada Solāh Isya’.

ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam Solāh pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam Takbiratul Ihram.

iii. Berturut-turut di antara Solāh yang dijama’kan itu.

iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga Takbiratul Ihram Solāh yang kedua.

v. Berkeyakinan adanya waktu Solāh yang pertama (Dzuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solah yang kedua (`Asar atau `Isya’).

2.2.2. Solāh Jama’ Ta’khir:

i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Dzuhur atau Maghrib.

ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam Solāh yang kedua.

2.3 Niat.

2.3.1. Jama’ Taqdim.

i. Jama’ Taqdim Empat Raka`at:

"Sahaja aku Solāh fardhu Dzuhur empat raka`at dihimpunkan kepadanya `Asar tunai kerana Allāh Ta’ala."

ii. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar:

"Sahaja aku Solāh fardhu Dzuhur dua raka`at dihimpunkan kepadanya `Asar tunai kerana Allāh Ta’ala. "

2.3.2. Jama’ Ta’khir.

i. Jama’ Ta’khir Empat Raka'at:

"Sahaja aku Solah fardhu Dzuhur empat raka`at dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allāh Ta’ala. "

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar:

"Sahaja aku Solāh fardhu Dzuhur dua raka`at dihimpunkan kepada `Asar tunai kerana Allāh Ta’ala."

Wallahu`alam.

No comments: